Sunday, April 3, 2011

Pejuangan Pengguna Basikal

Mereka mahu membawa basikal ke jalan raya bagi membuktikan pengguna basikal mempunyai hak untuk menggunakan jalan raya.

SEORANG penunggang basikal menunjukkan aksi lagak ngeri dalam satu acara berbasikal beramai-ramai di jalan raya di Mumbai, India.

Di India, kereta adalah segala-galanya. Berbasikal dilihat sebagai pengangkutan miskin dan menjadikan mereka yang mengayuh basikal hanyalah budak pengantar yang membawa basikal tua sambil membawa bekas mengisi susu atau timbunan surat khabar.
Tetapi, kelompok kecil negara itu yang yang masih setia menggunakan basikal ingin mengkomersialkannya sebagai pengangkutan. Mereka berharap dapat mengubah segala tanggapan dan mahu membawa basikal ke jalan raya bagi membuktikan pengguna basikal mempunyai hak untuk menggunakan jalan raya.
“Di India, berbasikal dianggap sebagai pengangkutan bagi golongan miskin.
“Kita perlu ubah tanggapan masyarakat bahawa jika kita berbasikal dengan sebuah basikal yang bagus, ia menjadi sesuatu yang berharga dan istimewa,” kata Anoop Rajan, 24.
Salah satu profil berbasikal yang kini popular di seluruh dunia adalah berbasikal secara berkumpulan di sekitar bandar. Kebiasaannya, ia diiringi muzik yang agak kuat, pakaian yang menarik sambil bersiul atau menyanyi.
Ia telah menjadi salah satu pemandangan biasa di seluruh dunia sejak trend itu bermula di San Francisco pada tahun 1992. Di India, pertama kali ia berlaku di New Delhi pada September lalu.
Sejak itu, menunggang basikal telah menular di selatan bandar raya Bangalore dan di tengah Mumbai serta mula menarik perhatian dan rasa ingin tahu masyarakat tempatan.
Berbasikal beramai-ramai secara berkelompok telah dirancang oleh Rajan yang dijadualkan pada 29 November lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran serangan di bandar tersebut. Bagaimanapun, ia diadakan pada Sabtu terakhir bulan Disember dengan melibatkan hampir 50 penunggang.
Acara kedua telah diadakan pada penghujung Januari lalu yang menyaksikan lebih 75 penunggang mengerumuni jalan yang menjadi laluan utama di bandar raya tersebut sepanjang 6.8 kilometer.
Seorang arkitek di Mumbai, Kunal Ghevaria, 32, berulang-alik ke tempat kerja menggunakan basikal. Dia memberitahu berbasikal di negara itu semakin dilupakan dan tidak diiktiraf sebagai pengguna jalan raya yang sah.
“Ia adalah seperti satu acara bersukaria di dalam satu kumpulan. Ia juga sebagai satu cara untuk memberitahu ‘apa kata kami mengambil alih jalan raya selama tiga jam dalam sebulan,” katanya.
Rajan, Ghevaria dan beberapa pengayuh basikal lain kini berhadapan dengan masalah persekitaran dan elemen-elemen lain mengenainya.
Laluan untuk penunggang basikal juga tidak diwujudkan. Sehubungan itu, penunggang terpaksa berebut dan berkongsi dengan laluan pejalan kaki dan penjual jalanan.


Jalan-jalan raya di bandar tersebut terlalu sesak dengan kereta, bas, teksi, motosikal dan beca bermotor yang memenuhi ruang jalan raya dan mereka berebut-rebut untuk menukar laluan di antara satu sama lain.
Tiada insentif menarik bagi mendorong masyarakat untuk berbasikal, tambahan pula pemilikan kereta peribadi di India semakin meningkat.
Penjualan kereta di India meningkat sebanyak 12 peratus dalam tahun kewangan sehingga Mac 2008. Mengikut kiraan industri, ia mungkin meningkat apabila kereta termurah dunia, Tata Nano buatan India dilancarkan pada bulan berikutnya.
Hanya beberapa sebab kewangan sahaja yang memaksa kepada penggunaan basikal. Basikal juga sebenarnya boleh disewa di kedai-kedai khas tetapi senarionya tidak seperti di Paris atau Britain. Kerajaan memberi insentif pinjaman tanpa cukai untuk membeli basikal supaya pekerja menggunakan basikal ke tempat kerja.
Sesetengah tempat kerja juga mempunyai kemudahan untuk mandi bagi mereka yang menggunakan basikal ketika musim hujan atau pun ketika cuaca panas dan jalan berhabuk.
Ahli-ahli lembaga dalam laman web seperti www.cyclists.in show sedang berusaha mendidik masyarakat dunia untuk menggunakan basikal dan menjadikannya keutamaan seperti di Britain atau Paris kerana bimbang dengan isu alam semula jadi yang semakin terjejas ekoran bahan tercemar yang terhasil dari kenderaan.
“Lihat saja pada kesesakan dan keadaan trafik yang kelam-kabut di Mumbai. Ia sangat luar biasa dan sukar dipercayai. Saya pernah menghabiskan masa selama dua jam hanya untuk ke lokasi sejauh enam kilometer.
“Jarak lokasi pemanduan sebenarnya boleh dilakukan dengan hanya berbasikal. Agak lucu apabila kita melihat orang memandu ke gim hanya untuk berbasikal dan kemudian menggunakan kereta untuk pulang ke rumah.
“Dengan peningkatan obesiti yang semakin merunsingkan, kita hanya duduk di meja setiap hari tanpa melakukan senaman. Jika anda boleh menggabungkan kerja di pejabat dengan berbasikal, ia adalah munasabah,” kata Ghevaria yang menyertai acara berbasikal beramai-ramai di seluruh dunia termasuk di San Francisco.
Oleh kerana tiada insentif atau dorongan berbasikal walaupun untuk mengisi masa lapang, masyarakat di Mumbai mahupun seluruh India akan terus menyesakkan diri di dalam bas dan kereta api yang padat ataupun terperangkap dalam kereta dan teksi yang berhawa dingin.
Oleh itu, berbasikal di India akan terus menjadi tanda tanya manakala kelab-kelab basikal akan meneruskan aktiviti berbasikal pada waktu malam di mana trafik tidak terlalu sesak.
Ghevaria berkata, perubahan tidak akan dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.
“Saya tidak tahu berapa lama masa perlu diambil tetapi saya akan cuba sedaya upaya supaya perubahan dapat dilakukan dan saya berharap mendapat reaksi positif masyarakat,” katanya. – AFP

No comments:

Post a Comment